User:AIMAN ZAIFULSHAM
Ahmad Zakaria Abu Kassim
[edit]Ahmad Zakaria bin Abu Kassim dilahirkan di Teluk Kepayang, Parit, Perak Darul Ridzuan pada 7 September 1928. Beliau yang merupakan anak kelima dari tujuh adik-beradik merupakan seorang anak yang sangat gemar membaca dan menulis serta merupakan seorang yang pantang berputus asa. Beliau memulakan perjalanan ilmu di Sekolah Melayu Teluk Kepayang pada tahun 1938 dari darjah 1 hingga tamat darjah 5.
Sejak kecil lagi, beliau sekeluarga mengalami pelbagai ujian hidup diantaranya kehilangan abang sulung yang disayangi akibat dihukum bunuh oleh pihak Jepun yang menakluk negeri. Beliau juga melalui kehidupan yang sangat susah seperti kekurangan bekalan makanan, pakaian dan kemudahan asas akibat zaman peperangan ketika pihak Jepun memerintah. Namun, cabaran emosi dan fizikal ketika itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus meneruskan pembelajarannya di Sekolah Melayu Teluk Bakong dari darjah 6 hingga 7. Akan tetapi, pengajiannya di darjah 7 terpaksa dihentikan separuh jalan akibat keadaan setempat yang semakin kucar-kacir.
Setelah tamat zaman peperangan, pada tahun 1945 beliau telah mengambil keputusan untuk menyambung kembali pengajiannya di Sekolah Melayu Silibin di Ipoh dan kemudiannya di Sekolah Anderson mulai dari ‘Special Malay Class 1 and 2’ dan langsung ke ‘Standard 4’ hingga ‘Standard 7’. Di pertengahan pembelajaran di Sekolah Anderson[1], beliau mengalami masalah kekurangan wang untuk membayar yuran asrama dan akhirnya telah diusir keluar dari asrama tersebut. Disebabkan hal ini, beliau telah mengambil keputusan untuk menginap di sebuah kandang lembu berdekatan sekolah tersebut agar dapat terus untuk menghabiskan pembelajarannya di Sekolah Anderson. Pada setiap hujung minggu dan waktu tiada persekolahan, beliau membuat kerja-kerja sampingan seperti menjadi caddy golf dan pengutip bola tenis di kelab-kelab golf dan tenis sekitar untuk terus membiaya buku-buku dan keperluan sekolah lainnya.
Pada bulan Mac tahun 1953, beliau telah menyambung pengajiannya di RIDA[2] (Sekarang MARA) di dalam kursus “Rubber Estate and Factory Management". Beliau merupakan antara pelatih pertama di jurusan tersebut. Pelatih-pelatih lain adalah, Haji Mohd Nor (arwah), Abdul Majid Kadir (arwah), Abdul Rahim dan Nayan Ariffin (Tan Sri). Mereka telah diletakkan di dua pusat latihan yang terletak di Ladang Telok Pengerang dan Ladang Telok Sengat di Johor sebelum dipindahkan ke RRIM Sungai Buloh dan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Keadaan latihan pada ketika itu amatlah mencabar kerana kedudukan kedua-dua ladang tersebut yang berhampiran dengan kawasan persembunyian pihak komunis yang sedang bermaharajalela. Sering kali ladang-ladang tersebut menerima kunjungan tidak diundang dan serangan dari pihak gerilla. Namun, itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berlatih walaupun beberapa orang pelatih telah menarik diri dari program tersebut.
Setelah tamat latihan, beliau telah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai ‘Trainee Supervisor’ di ladang Braemar pada tahun 1955. Di situlah bermulanya jejak beliau menuju ke arah pelantikannya sebagai anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pengurus ladang di bawah syarikat kelolaan Harrison’s and Crosfield[3] pada tahun 1962. Beliau telah diamanahkan untuk menguruskan Ladang Juasseh di Negeri Sembilan sebelum berpindah ke ladang-ladang yang lain.
Di antara ladang-ladang yang pernah menyaksikan khidmat beliau adalah, Ladang Braemar, Ladang Cluny, Ladang Trolak, Ladang Sungai Bruas, Ladang Sogomana, Ladang Diamond Jubilee, Ladang Juasseh dan sebagainya. Pada tahun 1972, Sultan Perak pada ketika itu, Sultan Idris Iskandar Shah[4], telah mengiktiraf jasa beliau dalam bidang perladangan dengan pingat PJK (Pingat Jaksa Kebaktian)[5] bersama-sama 146 penerima di dalam bidang yang lain.
Pada bulan Oktober tahun 1982, beliau telah membuat keputusan untuk bersara awal dari dunia perladangan. Namun begitu, atas sebab-sebab tertentu, pihak Harrisons Malaysian Plantation Berhad telah memohon agar tarikh persaraan tersebut dilanjutkan sehingga penghujung 1984. Setelah berfikir secara mendalam, beliau telah bersetuju untuk melanjutkan khidmatnya. Beliau secara rasminya telah bersara pada 7 September 1983. Pada 13 Januari 2018, Haji Ahmad Zakaria telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediaman beliau di Kampung Sungai Rokam.
References
[edit]The Straits Times Directory of Malaysia & Singapore, (1962). Juasseh Estate, pg484.
- ^ "Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson", Wikipedia, 2019-11-24, retrieved 2020-09-25
- ^ "RIDA", Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas (in Malay), 2015-08-04, retrieved 2020-09-25
- ^ "Golden Hope", Wikipedia, 2020-06-17, retrieved 2020-09-25
- ^ "Idris Iskandar al-Mutawakkil Alallahi Shah of Perak", Wikipedia, 2020-01-10, retrieved 2020-09-25
- ^ "Darjah Kebesaran & Pingat Perak". pingat.perak.gov.my. Retrieved 2020-09-25.